Majlis Bersama Rakyat Negara Brunei Darussalam di United Kingdom & Ireland

LONDON, UNITED KINGDOM, Ahad, 17 Disember. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, petang ini berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berada di United Kingdom (UK) dan Eire.

Majlis tersebut berlangsung di Hotel Hilton on Park Lane, London, di sini.

Mengiringi keberangkatan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri di hotel tersebut dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin; Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di UK dan Eire, Awang Muhammad Hasif bin Awang Nordin dan Dayang Siti Nuramirah binti Haji Sabli.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung berangkat ke Willington Ballroom bagi Majlis Santap Minum Petang.

Baginda berdua kemudiannya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan sebelum sesi bergambar bersama para pegawai kanan Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di London serta Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di UK dan Eire.

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri juga seterusnya dijunjung bagi bergambar bersama Penerima Anugerah Biasiswa ‘The Chancellor’s Scholar’ Universiti Brunei Darussalam Sesi 2017 / 2018.

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri kemudiannya dijunjung beredar ke Grand Ballroom bagi Majlis Bersama Rakyat.

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam daripada Persatuan Penuntut-Penuntut Brunei University of Portsmouth diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Awangku Liyaqat Zhahierul Haq bin Pengiran Haji Zulkarnain dari University of Leeds manakala inti sarinya dibacakan oleh Awang Norsaidi bin Serail dari University of Southampton.

Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di UK dan Eire, bagi pihak seluruh pelajar yang antara lainnya menyembahkan, sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Di majlis tersebut, baginda berkenan mengurniakan titah.

Majlis seterusnya diikuti dengan tayangan video bertajuk “Generasi Cemerlang dan Berwawasan”.

Kebawah DYMM kemudian dijunjung bagi mengurniakan Anugerah Biasiswa ‘The Chancellor’s Scholar’ Universiti Brunei Darussalam Sesi 2017 / 2018 kepada Dayang Hanisah binti Haji Awang Sharif (Ph.d Clinical Medicine Research, Imperial College London) dan Dayang Najeehah binti Haji Abdul Hamid (MPhil Sociology – Modern Society and Global Transformations, Newham College, University of Cambridge).

Di majlis tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan menerima pesambah daripada Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di UK dan Eire, sementara Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima pesambah daripada Naib Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut NBD di UK dan Eire.

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya berangkat bercemar duli bersama lebih daripada 1,700 rakyat dan penduduk NBD yang sedang berada di UK dan Eire, terdiri daripada penuntut-penuntut, pegawai-pegawai kerajaan dan yang sedang di dalam percutian.

 

IMG_9971 IMG_9975 IMG_9981 IMG_9976 IMG_9977 IMG_9979 IMG_9978 IMG_9974 IMG_9982 IMG_9980 IMG_9973 IMG_9972

Dipetik dari Pelita Brunei: http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita/NewDisplayForm.aspx?ID=13856