TITAH: “Ilmu, kepakaran asas realisasikan matlamat pembangunan negara”

LONDON, UNITED KINGDOM, Ahad, 17 Disember. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, mengingatkan bahawa kerajaan baginda akan terus memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan, termasuk penyediaan skim biasiswa dan skim bantuan pinjaman pendidikan.
Oleh itu, baginda menekankan bahawa para pelajar hendaklah memberikan perhatian kepada pembelajaran dan untuk sentiasa mempertingkatkan diri masing-masing.
Demikian titah baginda pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Eire di majlis yang berlangsung di Hotel Hilton on Park Lane, di sini.
Baginda juga bertitah, di samping kejayaan akademik, para pelajar juga harusnya menyumbang kepada pembangunan negara apabila kembali ke tanah air, dan menyatakan bahawa ilmu dan kepakaran yang diperolehi ini adalah asas bagi merealisasikan matlamat pembangunan tersebut.
Menurut baginda, rukun pembangunan juga adalah mengambil kira kualiti sahsiah dan sikap yang hebat, dan bagi orang-orang Brunei, sahsiah dan sikap itu calaknya adalah MIB (Melayu Islam Beraja).
Kebawah DYMM bertitah mengingatkan para pelajar bahawa mereka adalah pewaris dan ‘anak kandung’ kepada MIB dan tidaklah boleh mereka berpaling tadah daripadanya.
Baginda seterusnya menekankan bahawa MIB adalah dasar dan nilai sistem bagi Brunei Darussalam dan menyeru supaya janganlah ada yang sampai terbabas daripada landasan ini atau mencuba-cuba selain daripada MIB.
Menurut baginda, sikap demikian itu adalah tidak patriotik selaku warga Brunei.
Baginda juga bertitah mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar yang terpilih untuk menerima anugerah biasiswa ‘The Chancellor’s Scholar’ Universiti Brunei Darussalam bagi sesi 2017 / 2018 dalam pengajian di Institusi ternama di United Kingdom.
Baginda berharap penerima-penerima anugerah ini akan terus mempertingkatkan diri dan menjadi ‘role model’ kepada pelajar-pelajar yang lain.
Sebelum mengakhiri titah, baginda mendoakan semoga para pelajar dan pegawai yang berada di United Kingdom akan sentiasa berada dalam sejahtera dan di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

IMG_9993 IMG_9994

Dipetik dari Pelita Brunei: http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita/NewDisplayForm.aspx?ID=13855