PELITA BRUNEI: “Tingkatkan Kesedaran Kesihatan Mental Pelajar di UK”

Picture1

LONDON, UNITED KINGDOM, Khamis, 9 November. – Persatuan Pascasiswazah Brunei di United Kingdom (UK) berjaya menganjurkan satu lagi sesi Percambahan Minda dengan topik ‘Mentally Fit: Inside Out’ pada 5 November 2017, Ahad di Brunei Hall, London.

Sesi ini menyasarkan penuntut-penuntut Brunei yang belajar di UK bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu kesihatan mental serta memberi panduan mengenai kaedah untuk mencari bantuan juga menangani gangguan kesihatan mental.

Sesi tersebut merangkumi pelbagai aktiviti, di mana aktiviti pertama ialah mengadakan sesi pengenalan panel bagi memberi maklumat latar belakang mengenai aspek kesihatan mental yang berbeza. Para ahli panel terdiri daripada Pemangku Pengarah Pengajian, Unit Pelajar Brunei, Dayang Irmawati binti Haji Ahmad; Pelajar Tahun Akhir di King’s College, London, Dayang Nurul Bazilah binti Bakiri; Pengajian Pengurusan PhD dan Kepimpinan, Universiti Lancaster, Awang Md. Iznan bin Haji Tarip, sementara pelajar PhD dari Imperial College, Dayang Hajah Hanisah binti Haji Awang Sharif dipilih sebagai moderator.

Dayang Nurul Bazilah memulakan sesi dengan diagnosis perubatan beberapa gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan kecemasan serta beberapa mekanisme tindakan yang boleh mempersiapkan pelajar. Awang Md. Iznan pula mengongsikan persepsi semasa masyarakat komuniti Islam di dunia termasuk UK, mengenai isu kesihatan mental dan bagaimana komuniti itu memberi respons kepada mereka. Tanggapan ini berbeza-beza mengikut pemahaman masyarakat mengenai Islam serta bahagian perubatan atau psikiatri berhubung dengan kesihatan mental. Pelbagai mekanisme pencegahan kemudian dicadangkan, yang berfungsi selari dengan rawatan perubatan atau psikiatri.

 

Sementara itu, Dayang Irmawati berkongsi pandangan terkini mengenai kesihatan mental, berkaitan dengan pelajar Brunei di UK, dan peranan Unit Pelajar Brunei di London dalam mempromosikan juga membantu isu kesihatan mental. Beliau menekankan bahawa Unit Pelajar Brunei sentiasa terbuka kepada pelajar untuk datang dan berbincang dengan mereka mengenai apa jua isu yang mereka hadapi, boleh jadi kewangan, akademik serta kesejahteraan.

Sesi panel diikuti dengan perbincangan berkumpulan yang lebih mendalam mengenai pelbagai bentuk gangguan kesihatan mental juga melalui senario kes berkaitan dengan pelajar Brunei di UK. Pendedahan melalui kajian kes nyata diterima oleh para peserta kerana ia dapat membuka minda terhadap isu serius dan bagaimana menanganinya.

Aktiviti reflektif lanjut juga diadakan bagi membantu peserta membina mekanisme masing-masing. Sesi diakhiri dengan sesi soal jawab.

Sesi Percambahan Minda bertujuan untuk menggalakkan dialog di antara pelajar-pelajar Brunei serta para pegawai mengenai topik penting dan kontemporari. Persatuan Siswazah Brunei merancang untuk menjalankan sesi yang sama di tempat lain di seluruh UK untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkara yang dibincangkan. Sesi-sesi tersebut ditaja oleh Unit Pelajar Brunei di UK.

 

Dipetik dari: http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita/NewDisplayForm.aspx?ID=13224