PELITA BRUNEI: Doa Kesyukuran Persatuan Pelajar Brunei seluruh UK & Eire sempena Sambutan Jubli Emas

UNITED KINGDOM & EIRE, Isnin, 9 Oktober. – Persatuan Pelajar Brunei dari United Kingdom & Eire baru-baru ini telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bagi memperingati Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta. Majlis berlangsung di London, Brunei Hall pada 4 Oktober 2017 lalu.

Acara yang sama juga diadakan oleh Persatuan-Persatuan Pelajar di luar London dan dari 11 wilayah. Ini termasuk Persatuan dari BruSheff (Brunei-Sheffield), BruSton (Brunei-Southampton), BHSC (Jawatankuasa Pelajar Brunei Hall), BruLeics (Brunei-Leicester), BruSCA (Brunei-Cardiff) dan BruNotts (Brunei-Nottingham).

Sebagai sebuah Negara Zikir, bacaan doa diadakan untuk mencari berkat dan perlindungan Allah untuk baginda.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Solat Hajat, diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqi’ah dan Surah Al-Mulk. Disusuli dengan Doa Kesyukuran dipimpin oleh Pegawai Agama yang dilantik dari setiap persatuan bagi memohon keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Majlis diakhiri dengan Sembahyang Isyak Berjemaah.

Beberapa persatuan juga menganjurkan aktiviti dan kuiz bagi mengeratkan lagi hubungan antara pelajar-pelajar baharu dengan para senior. Sebahagian daripada pelajar juga menunggu sehingga awal pagi demi untuk menyaksikan siaran langsung perarakan diraja yang menjadi detik bersejarah bagi mereka semua.

 

Article extracted from: http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita/NewDisplayForm.aspx?ID=12760